100 berhimpun bantah penyertaan firma senjata asing di DSA & NATSEC 2026
KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 penunjuk perasaan berkumpul di luar Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini bagi mendesak larangan terhadap penyertaan syarikat senjata asing yang dikaitkan dengan konflik di Gaza dalam pameran pertahanan utama negara.
Bantahan itu diadakan serentak dengan penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 yang membuka tirainya hari ini hingga Khamis.
Susulan itu, Pengerusi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Nazari Ismail dan anggota Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua kemudian menyerahkan memorandum kepada Pengarah Eksekutif DSA, Nadzeem Abdul Rahman.
Antara tuntutan dikemukakan termasuk gesaan supaya pihak penganjur mengeluarkan kenyataan awam yang menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa serta mewujudkan mekanisme berasaskan penemuan PBB dan hak asasi manusia bagi menilai penyertaan pempamer pada acara akan datang.
Nazari berkata, syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel tidak wajar dijemput ke pameran DSA dan NATSEC kerana ia seolah-olah memberi pengiktirafan serta tidak membantah penglibatan mereka dalam konflik di Gaza.
“Jika mereka (syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel) sudah dikenal pasti oleh PBB, mengapa masih dijemput?” soalnya pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menegaskan pihaknya tidak menentang pameran tersebut, sebaliknya hanya membantah penyertaan syarikat berkenaan, dengan alasan rakyat Malaysia tidak mahu “penggubal kepada genosid” terlibat dalam acara itu.
Beliau berkata, Malaysia boleh mendapatkan bekalan senjata dari negara lain seperti Turkiye dan beberapa negara Eropah Timur sebagai alternatif bagi mengelakkan syarikat yang dinamakan dalam laporan PBB.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pameran DSA dan NATSEC merupakan platform perdagangan yang neutral, sekali gus menolak kritikan terhadap penyertaan beberapa syarikat asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















