LUAR NEGARA

Hamas umum bubar badan tadbir Semenanjung Gaza

GAZA CITY – Pergerakan Hamas hari ini mengumumkan pembubaran badan yang mentadbir Semenanjung Gaza selama hampir dua dekad.

Langkah demikian sekali gus membuka laluan kepada sebuah jawatankuasa teknokrat untuk mengambil alih pentadbiran di wilayah berkenaan, lapor AFP.

Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa di wilayah berkenaan Oktober tahun lalu, kumpulan itu berulang kali menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada pentadbiran harian.

Sebagai rekod, Hamas mula mentadbir Gaza sejak pejuangnya mengambil alih wilayah itu daripada pergerakan Fatah pada 2007 selepas memenangi pilihan raya legislatif setahun sebelumnya.

“Ketua Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan, Mohammed al-Farra, secara rasmi telah mengemukakan peletakan jawatan.

“Beliau juga memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa itu bagi memudahkan peralihan pentadbiran dan pemerintahan kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG),” kata Ketua Pejabat Media Kerajaan Hamas, Ismail al-Thawabta, kepada AFP.

NCAG ditubuhkan oleh Lembaga Keamanan yang diwujudkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau menjadi pengantara dalam memeterai gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada Oktober 2025.

“Hamas telah mengambil satu langkah baharu apabila ia tidak lagi akan mentadbir Semenanjung Gaza, bagi menghapuskan sebarang alasan yang digunakan oleh pihak pendudukan yang terus menerus melakukan pencerobohan dan perang pemusnahan.

“Kami berharap NCAG dapat memasuki Gaza secepat mungkin dan Hamas mengesahkan kesediaannya untuk menyerahkan tanggungjawab pentadbiran kepada jawatankuasa itu bagi memastikan kejayaannya,” tambah jurucakap Hamas, Hazem Qassem, kepada AFP.

Seorang pegawai Hamas sebelum ini memberitahu kumpulan itu telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada beberapa lagi kumpulan Palestin dalam satu mesyuarat yang diadakan di Kaherah baru-baru ini.

“Semua kumpulan menyambut baik keputusan Hamas itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah serius ke arah membantu memudahkan NCAG melaksanakan peranannya sebagai pentadbir,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button