BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rundingan Israel-Hamas di Mesir disifatkan terpenting sejak perang Gaza dua tahun lalu

KAHERAH – Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas yang kini bermula di Sharm El-Sheikh, Mesir dengan penglibatan wakil Mesir dan Qatar sebagai orang tengah dilihat sebagai rundingan paling penting sejak perang Gaza tercetus dua tahun lalu.

Tambah mengejutkan adalah respons positif Hamas terhadap pelan damai yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan ramai pemerhati menjangkakan Hamas akan menolak atau mengenakan syarat ketat terhadap cadangan berkenaan.

Menurut pegawai Palestin dan Mesir kepada BBC, rundingan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan keadaan di lapangan bagi melaksanakan pertukaran tahanan semua tebusan Israel sebagai pertukaran kepada sejumlah tahanan Palestin.

Hamas dilaporkan telah bersetuju secara prinsip terhadap pelan damai yang dibentangkan oleh Washington, namun masih meneliti beberapa perkara utama termasuk isu perlucutan senjata dan peranan masa depannya dalam pentadbiran Gaza.

Dalam pada itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu menyatakan harapan agar pembebasan tebusan dapat diumumkan ‘dalam beberapa hari akan datang’.

Sumber diplomatik memaklumkan, antara tokoh utama yang menghadiri rundingan itu ialah Utusan Khas AS, Steve Witkoff; menantu kepada Presiden Donald Trump, Jared Kushner dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataannya menggesa semua pihak ‘bergerak pantas’ dan memaklumkan bahawa fasa pertama pelan damai termasuk pembebasan tebusan dijangka diselesaikan minggu ini.

Pelan 20 perkara yang disediakan bersama oleh Trump dan Netanyahu itu mencadangkan penghentian segera pertempuran dan pembebasan 48 tebusan dengan hanya 20 daripadanya dipercayai masih hidup sebagai pertukaran kepada ratusan tahanan Gaza.

Sebaik kedua-dua pihak mencapai persetujuan, bantuan kemanusiaan penuh akan dihantar ke Gaza.

Pelan itu juga menegaskan Hamas tidak lagi akan terlibat dalam pentadbiran wilayah berkenaan dan membuka jalan kepada pembentukan negara Palestin pada masa depan.

Rundingan berlangsung menjelang ulang tahun kedua serangan Hamas terhadap selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza yang setakat ini telah meragut 67,160 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Beberapa pemimpin Eropah dan Asia Barat menyambut baik inisiatif damai tersebut, manakala Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyifatkan langkah Trump sebagai “ikhlas dan bertekad.

Selain itu, Iran, sekutu utama Hamas turut memberi isyarat sokongan terhadap cadangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button