Backpacker Perancis didakwa ugut lelaki Israel dengan pisau
QUEENSLAND – Seorang backpacker warga Perancis ditahan tanpa jaminan selepas didakwa memeluk seorang lelaki dipercayai warga Israel sebelum mengeluarkan pisau sambil membuat kenyataan berbaur anti-Zionis di sebuah hostel di Cairns, Australia.
Menurut laporan ABC News, Leo Raymund Cotene, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Cairns semalam atas pertuduhan serangan biasa namun membabitkan penghinaan serius atau jenayah kebencian.
Kejadian didakwa berlaku pada pukul 5 petang kelmarin di Mad Monkey Backpackers di Sheridan Street, apabila Cotene menghampiri lelaki berkenaan dan memeluknya walaupun diminta supaya tidak menyentuhnya.
Menurut mahkamah, Cotene kemudian berkata, “Saya akan peluk awak kalau saya mahu,” sebelum memeluk lelaki itu buat kali kedua.
Dia kemudiannya didakwa mengambil sebilah pisau sepanjang kira-kira 20 sentimeter dari dalam begnya.
Peguam Cotene, Rowan King berkata, tiada dakwaan anak guamnya memukul atau mencederakan lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, antara kenyataan yang didakwa dibuat termasuk “Kamu bunuh orang di Gaza” dan “Saya tidak akan tinggal di hotel dengan orang Israel.”
Mahkamah turut dimaklumkan Cotene dan 13 backpacker lain merupakan anggota kumpulan WhatsApp ‘International Incel Investigating’ yang didakwa berkongsi gambar mangsa di Instagram memakai seragam tentera Israel.
Cotene berada di Australia sejak November 2025 dan tiba di Cairns kira-kira dua bulan lalu. Dia pernah bekerja dalam sektor pembinaan dan tidak mempunyai rekod jenayah di Australia atau Perancis.
Pendakwa polis, Olivier Claes membantah jaminan atas alasan risiko Cotene mengulangi kesalahan dan membahayakan orang awam, khususnya individu berketurunan Israel atau beragama Yahudi.
Majistret Tom Braes menolak permohonan jaminan dan mengarahkan Cotene kekal dalam tahanan sehingga sebutan semula pada 11 September.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








