Israel berdepan isolasi global, rakan sekutu mula jauhkan diri
TEL AVIV – Keputusan Israel untuk mengambil alih Gaza City mencetuskan gelombang penolakan antarabangsa serta mendorong beberapa negara mengumumkan langkah sekatan, sekali gus meningkatkan isolasi diplomatik rejim Zionis itu di pentas dunia.
Setelah hampir dua tahun selepas perang besar meletus, Israel kini semakin hilang sokongan sekutu tradisi dengan beberapa pemimpin dunia menyifatkan tindakan rejim itu memaksa penduduk Gaza berpindah ke selatan sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Bekas duta Israel ke Cyprus memberi amaran negara-negara sekutu mungkin tidak lagi sanggup meletakkan diri mereka dalam ‘risiko’ demi Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengetuai gabungan paling kanan dalam sejarah politik negara itu, dituduh pengkritiknya membawa Israel ke peringkat paling ‘pariah’, sama seperti rejim apartheid Afrika Selatan sebelum 1994.
Profesor politik di Universiti Tel Aviv, Uriel Abulof pula berkata semua laporan menunjukkan ‘tsunami diplomatik’ yang sudah lama diingatkan kini semakin hampir.
Sementara itu, kecaman terhadap Israel terus memuncak apabila Canselor Jerman, Friedrich Merz mengumumkan ’embargo senjata’ ke atas sekutu lamanya itu, meskipun Jerman sebelum ini merupakan antara pembekal utama persenjataan kepada rejim Zionis.
Pada masa sama, Kanada, Itali, Australia dan New Zealand turut menyatakan pendirian bersama mengecam rancangan Israel untuk menduduki Gaza City.
Manakala di Greece, kumpulan pro-Palestin menyeru penganjuran ‘Hari Kemarahan’ terhadap pelancong Israel, menimbulkan kebimbangan keselamatan ketika musim cuti panas.
Namun, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz tetap menegaskan negara itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya dengan menyatakan bahawa negara-negara yang mengancam sekatan tidak akan melemahkan ketegasan Israel dan dengan angkuh mengingatkan bahawa Zaman Yahudi tidak mempertahankan diri sudah berlalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








