Serangan udara rejim Zionis sasar bas mini di Gaza ragut lima nyawa
GAZA – Serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bas mini di Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza, mengorbankan lima rakyat Palestin dan mencederakan 20 yang lain, termasuk wanita serta kanak-kanak, semalam.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata, bas berkenaan membawa orang awam dari Bandar Gaza menuju ke kawasan tengah dan selatan Semenanjung Gaza ketika diserang.
Memetik laporan AFP, beliau berkata kenderaan itu terkena dua peluru berpandu yang dilepaskan dron Israel, mengakibatkan bahagian hadapan bas musnah sebelum terbakar sepenuhnya.
Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima lima mayat serta sejumlah mangsa yang cedera selepas serangan terhadap sebuah kenderaan berhampiran bekas ibu pejabat kabinet di kawasan Tel al-Hawa.
Setakat ini, tentera Israel belum memberikan kenyataan berhubung serangan berkenaan.
Perang di Gaza tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 2023 yang mengorbankan 1,221 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan balas besar-besaran Israel selepas itu menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah, selain mengorbankan lebih 74,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas.
Sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober tahun lalu, lebih 1,400 orang dilaporkan terbunuh di Gaza.
Dalam tempoh sama, tentera Israel melaporkan lima anggotanya serta seorang kontraktor awam turut terbunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








