Gencatan senjata: Tujuh tebusan Israel diserahkan, tahanan Palestin menanti pembebasan
GAZA CITY – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, hari ini menyerahkan tujuh tebusan warga Israel kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Gaza, sekali gus menandakan permulaan fasa pertama pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
Di bawah perjanjian itu, Israel bersetuju membebaskan ratusan tahanan Palestin sebagai pertukaran terhadap pembebasan tebusan berkenaan iaitu langkah yang dilihat sebagai perkembangan paling signifikan sejak tercetusnya perang dua tahun lalu antara kedua-dua pihak.
Perjanjian tersebut juga dilihat sebagai usaha terbesar ke arah menamatkan konflik berpanjangan dan membuka laluan kepada perdamaian kekal, berasaskan Pelan 20 Perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ribuan rakyat dilaporkan membanjiri jalan-jalan utama di Tel Aviv untuk menyaksikan detik pembebasan tebusan Israel tersebut, sambil menantikan perkembangan rundingan damai yang sedang berlangsung.
Trump turut tiba di Tel Aviv sejurus selepas pembebasan dilakukan bagi meninjau pelaksanaan awal pelan damai berkenaan.
Beliau dijangka berucap di Parlimen Israel, Knesset, hari ini dan memuji Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas usaha memulakan proses perdamaian tersebut.
Perbincangan susulan dijadualkan berlangsung dengan penyertaan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, serta pemimpin dari lebih 20 negara lain yang dijangka membincangkan mekanisme jangka panjang bagi memastikan keamanan serantau dapat dicapai secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








