Trump dakwa Hamas tunjuk tanda setuju pelan damai Gaza
WASHINGTON – Isyarat perdamaian mula kelihatan di Gaza apabila Hamas dilapor bersedia menerima sebahagian cadangan pelan damai yang dibawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Antara perkara yang dipersetujui kumpulan itu dalam kenyataan balas mereka adalah gencatan senjata, pengunduran tentera Israel, pertukaran tahanan serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
Trump menegaskan Israel perlu segera menghentikan serangan udara bagi membolehkan proses pembebasan tebusan dapat dijalankan dengan lebih selamat.
“Israel mesti segera menghentikan pengeboman Gaza supaya kita dapat mengeluarkan para tebusan dengan selamat dan cepat.
“Ketika ini keadaan terlalu berbahaya untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Truth Social.
Trump turut menambah, pihaknya sedang mengatur butiran lanjut mengenai cadangan damai tersebut.
“Ini bukan sekadar tentang Gaza, sebaliknya mengenai keamanan yang telah lama diusahakan di Timur Tengah,” katanya.
Bagaimanapun, penganalisis menjangka usaha damai itu tidak mudah direalisasikan kerana masih wujud perbezaan ketara antara cadangan Trump dan pendirian Hamas, terutama melibatkan isu pentadbiran Gaza serta kedudukan kumpulan itu pada masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








