BERITA SEMASA

2.3 juta penduduk Gaza hadapi krisis kekurangan bekalan makanan, zat

BRUSSELS – Dianggarkan sebanyak 2.3 juta penduduk Gaza berdepan krisis kekurangan zat dan bekalan makanan sepanjang serangan yang dibuat rejim Zionis Israel sejak sebulan lalu, dedah Pengarah Kecemasan untuk Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kyun-nan Park.

“Sebelum 7 Oktober, sebanyak 33 peratus daripada penduduk tidak cukup makanan. Kami boleh mengesahkan bahawa 100 peratus makanan tidak terjamin buat masa ini.

“Mereka berdepan risiko kekurangan zat makanan,” katanya memetik laporan Reuters.

Jelas Park, WFP memerlukan AS$112 juta untuk memastikan program disediakan pihaknya dapat menampung 1.1 juta orang di Gaza dalam tempoh 90 hari akan datang.

Selain bantuan dalam bentuk kewangan, beliau berkata WFP juga memerlukan akses kebenaran kemasukan tetap dan selamat ke wilayah itu bagi menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Sekarang ini kami dapat masuk 40 hingga 50 trak, hanya untuk bantuan makanan WFP. Kami memerlukan 100 trak sehari untuk dapat menyediakan sebarang bantuan makanan kemanusiaan yang bermakna kepada penduduk di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Pejabat Kemanusiaan PBB, sejak pembukaan semula Lintas Rafah di sempadan Gaza dengan Mesir untuk kemasukan kargo bantuan kemanusiaan pada 21 Oktober lalu, jumlah purata harian trak yang menyeberangi ke Gaza kurang 19 peratus sebelum konflik.

Selain penduduk Gaza, Park mendedahkan kakitangannya di wilayah itu turut berdepan dengan masalah makanan tidak mencukupi.

Katanya, WFP pernah bekerjasama dengan lebih 23 kedai roti di kawasan yang padat dengan penduduk itu, namun hanya sebuah saja premis yang masih beroperasi berikutan kekangan bahan api dan bekalan.

“Ada cerita mengenai orang pergi ke sana, beratur selama 10 hari dan pulang dengan tangan kosong. Situasi agak serius,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button