Tujuh rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di Gaza
GAZA – Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa serangan Israel di Semenanjung Gaza, termasuk serangan udara yang menyasarkan kawasan Universiti Islam di Gaza City, semalam.
Serangan di universiti berkenaan mengorbankan tiga individu yang dilaporkan sebagai kakitangan pentadbiran, manakala lapan lagi cedera, menurut pihak hospital Al-Shifa dan sumber universiti.
Kementerian Pendidikan Gaza mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai satu lagi ancaman terhadap sektor pendidikan yang terus terjejas akibat konflik berpanjangan di wilayah berkenaan.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, empat lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan di beberapa lokasi lain, termasuk Khan Younis di selatan Gaza, Deir al-Balah di tengah wilayah itu dan kawasan utara Semenanjung Gaza.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025 masih gagal menghentikan sepenuhnya keganasan di Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh sejak perang bermula pada Oktober 2023, manakala ribuan lagi cedera.
Konflik berterusan itu turut memusnahkan infrastruktur awam, termasuk institusi pendidikan, selain memburukkan keadaan kemanusiaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan berdepan kekurangan bantuan asas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








