Istana Pahang nafi klip video Tengku Mahkota ke Indonesia
KUANTAN – Istana Pahang menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Ke bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanul Ibrahmi Alam Shah menghadiri satu ritual keagamaan di Indonesia baru-baru ini.
Istana Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, dakwaan yang disebarkan menerusi klip video di platform TikTok itu adalah tidak benar dan bersifat fitnah.
Video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok yayasan.hilmi.fir itu mendakwa kehadiran Tengku Mahkota Pahang ke Indonesia bagi menyaksikan ritual keagamaan yang dilakukan individu bergelar ustaz.
“Video berkenaan langsung tidak menunjukkan sebarang kehadiran KDPM Tengku Mahkota Pahang malah hanya rekaan dan fitnah bagi menarik orang ramai melalui platform media sosial tersebut yang disyaki scammer,”menurut kenyataan itu.
Penafian itu turut dibuat susulan penyebaran mesej kepada orang ramai yang menggunakan nama Tengku Mahkota Pahang bagi memperdaya masyarakat.
Istana Pahang menegaskan perbuatan berkenaan merupakan cubaan penipuan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan imej dan reputasi institusi diraja.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya serta tidak mudah terpedaya dengan dakwaan dan tawaran mencurigakan di media sosial.
Orang ramai juga diminta merujuk saluran rasmi Istana Pahang bagi mendapatkan pengesahan berhubung sebarang maklumat yang membabitkan institusi diraja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





