BISNES & EKONOMI

Shanghai Fair ke-26: MITEC jadi tumpuan 500 pempamer dari China

KUALA LUMPUR – Pameran perdagangan Shanghai Fair ke-26 bakal menghimpunkan lebih 300 syarikat, 30 persatuan industri, institusi serta kira-kira 500 pempamer dari Shanghai, China di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, bermula 16 hingga 17 November ini.

Dianjurkan oleh RCG International Convention & Exhibition Co. Limited, pameran dwitahunan itu bertujuan meneroka potensi kerjasama pelaburan dan perniagaan antara Shanghai dan Malaysia.

Edisi kali ini turut menyaksikan Daerah Minhang, Shanghai bertindak sebagai ‘lokasi kehormat’ bagi mempamerkan kekuatan industrinya di samping merapatkan jalinan dengan syarikat tempatan.

Pameran tersebut memberi tumpuan kepada lima sektor strategik merangkumi Pembuatan, Penjagaan Kesihatan, Barangan Pengguna, Teknologi Inovasi serta Perkhidmatan Perdagangan. Menariknya, lebih separuh daripada pempamer yang mengambil bahagian mendapat pengiktirafan di bawah status Specialised, Refined, Distinctive and Innovative (SRDI) China, iaitu piawaian bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkeupayaan khusus dan pasaran tertumpu.

Bagi mengukuhkan urusan perdagangan dan pelaburan, program dua hari berkenaan menyasarkan lebih 300 sesi padanan perniagaan bersemuka (B2B) secara terus, dengan lebih 100 sesi telah disahkan membabitkan perbincangan perolehan sumber, pengedaran, dan perkongsian strategik.

Selain itu, turut dianjurkan Seminar Invest Shanghai dan Minhang serta Sesi Pertukaran Perniagaan China–Malaysia yang memberi tumpuan kepada topik Kecerdasan Buatan (AI) bersama Tenaga Baharu, AI bersama Penjagaan Kesihatan, serta Kimia Hijau dan Bahan Baharu.

Buat julung kalinya, Pavilion Antarabangsa seluas hampir 150 meter persegi diperkenalkan bagi menempatkan institusi rasmi Malaysia dan syarikat tempatan terkemuka sebaris dengan rakan sejawat mereka dari Shanghai.

Selain aspek komersial, pameran itu turut diserikan dengan elemen pertukaran kebudayaan menerusi program Shanghai Brands Shine in Kuala Lumpur, pertunjukan fesyen Sail with Style, dialog kopi dua bandar, serta gabungan kulinari bertajuk Shanghai Cuisine Meets Nyonya Delicacies.

Naib Presiden Persekutuan Perkhidmatan Shanghai (SSF), Fu Wengang berkata, pihaknya berharap acara ini dapat berfungsi sebagai platform jangka panjang yang merapatkan hubungan Shanghai dan Malaysia menerusi sektor perdagangan, budaya, serta kebajikan masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada 2012, Shanghai Fair telah merentasi hampir 20 negara di Asia dan Eropah. Jawatankuasa penganjur menyifatkan edisi 2026 di Kuala Lumpur ini sebagai yang terbesar pernah diadakan dari aspek keluasan ruang pameran, jumlah penyertaan pempamer, dan pengisian sesi program.

Syarikat tempatan yang berminat untuk menyertai sesi padanan perniagaan B2B boleh membuat pendaftaran sebelum 1 November ini menerusi e-mel shanghaifairmalaysia@gmail.com.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button