BERITA SEMASA

MK3D jangka raih jualan RM2.9 juta, tarik dua juta pengunjung

KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 30 Julai hingga 3 Ogos ini dijangka menarik kehadiran lebih dua juta pengunjung dari seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, karnival itu menghimpunkan tiga program utama iaitu Hari Penuh FELDA, Karnival Usahawan Desa dan Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan penyertaan lebih 1,000 usahawan dari pelbagai sektor.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninjau reruai Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 30 Julai, diiringi Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. FOTO MT/HAFIZAIMAN

“Karnival ini bukan hanya mempamerkan produk makanan dan minuman, tetapi melibatkan pelbagai keluaran usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menunjukkan kemajuan signifikan dalam bidang masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan di MITEC, di sini hari ini.

Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan karnival itu Sabtu ini, jam 2.30 petang.

Katanya, antara acara istimewa ialah persembahan orkestra oleh 100 pelajar MRSM Tun Abdul Razak yang merupakan anak-anak generasi FELDA.

Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 30 Julai
Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 30 Julai

“Mereka ini adalah ahli kumpulan B40 yang telah dinobatkan sebagai johan pertandingan orkestra tiupan dan menerima anugerah Golden Diploma di Perak.

“Menariknya, semua pelajar ini juga merupakan penghafaz al-Quran, sekurang-kurangnya lima juzuk dan ada yang telah menghafal sehingga 20 juzuk,” katanya lagi.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti lain turut dirancang sepanjang lima hari karnival termasuk program Selawat FELDA, konvokesyen kolej FELDA, forum, seminar, sukan dan permainan dalaman.

“Kita alu-alukan kehadiran warga FELDA dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Bagi pengunjung di Lembah Klang, perkhidmatan bas Maraliner turut disediakan di lokasi tertentu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, karnival itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang ditaja oleh beberapa syarikat swasta.

“Antaranya termasuk lima pakej umrah, lima lawatan ke Dubai dan kereta Proton X90 selain hadiah-hadiah lain yang turut disediakan kepada pengunjung bertuah,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 541 usahawan di bawah KKDW dipilih menyertai pameran tersebut, manakala selebihnya merupakan usahawan yang diselaraskan oleh FELDA dan KUSKOP.

“Ini merupakan karnival keusahawanan mikro, kecil, sederhana dan makro terbesar di peringkat nasional setakat ini,” ujarnya lagi.

Tambah Zahid, pihak penganjur juga akan melaksanakan padanan perniagaan (business matching) bersama rakan-rakan strategik dari negara ASEAN dan luar negara.

“Melalui usaha ini, kita menyasarkan nilai jualan keseluruhan sekitar RM2.9 juta sepanjang tempoh penganjuran MK3D,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button