SEATCE 2026 perkukuh platform perdagangan Malaysia-China
KUALA LUMPUR – Ekspo Teknologi Pengguna Asia Tenggara (Malaysia) 2026 (SEATCE 2026) yang menghimpunkan 200 pempamer dari China dilihat mampu memperkukuh jaringan perdagangan, teknologi dan padanan perniagaan antara Malaysia, China serta Asia Tenggara.
Berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 2 Oktober di Tun Razak 3, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), ekspo itu dirasmikan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din.
Menurut Mohamad Sahar, SEATCE 2026 mengetengahkan produk, penyelesaian teknologi dan peluang perniagaan dalam enam sektor utama iaitu ekonomi digital, teknologi pendidikan, pakaian dan fesyen, keselamatan kebakaran, alat ganti automotif serta rawatan air.
“Penganjuran ekspo berkenaan turut menyediakan platform padanan perniagaan secara langsung, sesi perolehan, pertemuan satu-ke-satu, pelancaran produk dan teknologi serta penerokaan peluang pasaran baharu di Asia Tenggara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohammad Sahar berkata, platform seperti SEATCE 2026 penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan jaringan strategik antara pemain industri Malaysia dan China.
Beliau berkata, ia turut membuka ruang kepada usahawan serta komuniti perniagaan untuk meneroka pasaran baharu selain menghubungkan pengeluar, pembeli, pengedar, peruncit, pemain e-dagang dan pelabur dalam satu ekosistem.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan menawarkan kepakaran kepada syarikat dari Henan di China untuk mendapatkan sijil halal JAKIM.

Beliau berkata, selain sijil halal pihaknya juga akan membantu memasarkan produk-produk tersebut di pasaran tempatan.
Katanya, Henan yang mempunyai lebih tiga kali ganda daripada penduduk Malaysia juga mempunyai potensi yang tinggi untuk menjalankan hubungan perdagangan dua hala.
Yang hadir sama, Pengarah Urusan Zhengzhou Yatu Exhibition Service, Deng Han Zhong; Presiden Peniaga Henan; Chao Feng dan Presiden Malaysian Chinese Assembly Hall Datuk Seri Chai Zhi Quan.
Turut hadir sama, Naib Presiden DPIM Datuk Khairul Shahril Hamzah serta wakil industri, usahawan dan pemain perniagaan dari Malaysia dan China.
Sepanjang penganjuran, SEATCE 2026 turut menampilkan forum industri, sesi perolehan, padanan perniagaan, pertemuan satu-ke-satu, pelancaran produk serta sesi jaringan bersama pembeli dan pemain industri.
Ekspo itu juga memberi peluang kepada syarikat dan usahawan tempatan mendapatkan pendedahan terhadap produk serta teknologi baharu dari China, selain meneroka potensi kerjasama dan pengembangan pasaran di rantau Asia Tenggara.
Usahawan, pemain industri, pembeli, pengedar, peruncit, pengilang, pemain e-dagang, pelabur serta persatuan industri dijemput mengunjungi SEATCE 2026 yang berlangsung sehingga 2 Oktober ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








