BERITA SEMASADALAM NEGERI

DSA/NATSEC: Maritim Malaysia perkasa peranan di pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR – Penyertaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 dilihat sebagai langkah strategik untuk mengetengahkan keupayaan sebenar agensi itu di pentas antarabangsa.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penyertaan kali ketujuh itu bukan sekadar mempamerkan aset, sebaliknya menjadi platform memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dalam penguatkuasaan undang-undang serta mempertahankan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

Menurut beliau, pameran tersebut turut berperanan sebagai medium meningkatkan kesedaran awam terhadap fungsi, peranan dan perkembangan semasa Maritim Malaysia.

“Ini bukan hanya soal pameran, tetapi peluang untuk kita menampilkan keupayaan sebenar agensi di samping mendekatkan masyarakat dengan peranan Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

apmm
Mohd Rosli Abdullah

Pameran yang berlangsung dari 20 hingga 23 April di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari dalam serta luar negara.

Peluang tersebut membuka ruang kepada Maritim Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai antara agensi keselamatan maritim utama di rantau ini.

Dalam pada itu, penyertaan berkenaan turut dimanfaatkan untuk menilai teknologi dan sistem terkini yang berpotensi memperkasakan operasi agensi, khususnya dalam menangani ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.

Selain itu, DSA dan NATSEC Asia 2026 turut menjadi medan memperluas kerjasama antarabangsa apabila beberapa pertemuan bersama delegasi luar dijadualkan bagi membincangkan isu keselamatan perairan serta memperkukuh kawalan sempadan negara secara lebih bersepadu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button