BERITA SEMASA

Vesel nelayan kelas B ditahan, langgar syarat lesen di perairan Kapar

PELABUHAN KLANG – Tindakan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B yang menggunakan mata pukat tidak mengikut syarat lesen membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam satu operasi di perairan Kapar kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot ronda maritim mengesan dan menahan vesel itu kira-kira pukul 9 malam pada kedudukan 4.1 batu nautika barat Kapar.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan seorang tekong dan seorang kru tempatan masing-masing berusia 49 dan 55 tahun.

“Vesel tersebut melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pemeriksaan lanjut menemukan satu gulung pukat tunda dan kira-kira 50 kilogram ikan campur hasil tangkapan di atas vesel.

Kedua-dua kru bersama vesel dan hasil rampasan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Dua nelayan yang ditahan oleh anggota APMM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan mata pukat kurang 38 milimeter.

Abdul Muhaimin menegaskan, pihaknya akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang,” tegas beliau.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti mencurigakan atau jenayah di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button