BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia aktifkan SAR lapan kru bot pancing dikhuatiri karam

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat sekurang-kurangnya lapan kru sebuah bot pancing yang dikhuatiri karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan, hari ini.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, insiden itu dilaporkan oleh tekong bot pada pukul 10.45 pagi tadi.

Beliau berkata, seorang kru bot terbabit memaklumkan kepadanya ketika berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak.

“Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11 pagi dan aset APMM, KM Siangin telah ke lokasi kejadian bagi melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan segera.

“Berdasarkan maklumat setakat ini, dianggarkan lebih lapan kru berada di atas bot berkenaan dan identiti kesemuanya sedang disahkan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Romli berkata, operasi menyelamat kini dilaksanakan secara bersepadu oleh dua agensi keselamatan, termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain itu, katanya, kapal kargo MAERSK SONGKHLA yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang turut membantu operasi mencari dan menyelamat itu.

“Perkembangan lanjut mengenai status kru, keadaan semasa di lokasi dan maklumat tambahan lain berkaitan operasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button