Op Carilamat ditamatkan selepas semua 19 mangsa bot karam ditemukan, seorang meninggal dunia
LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) susulan insiden sebuah bot hampir karam di perairan Timur Laut Pulau Perak semalam ditamatkan sepenuhnya selepas semua 19 mangsa berjaya ditemukan pagi ini.
Daripada jumlah itu, 18 mangsa dilaporkan selamat manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua mangsa dikesan oleh kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diberikan rawatan awal.
“KD Ledang tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 sekitar pukul 6 pagi tadi dan kesemua mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat seorang lelaki turut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Selepas pemeriksaan, 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia bagi urusan susulan.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan bersyukur kerana 18 mangsa lain berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas serta koordinasi yang sangat baik antara semua agensi,” katanya lagi.
Romli berkata, kejayaan operasi tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan dan komitmen tinggi pasukan penyelamat dalam memastikan keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan.
“Dengan kesemua mangsa telah ditemui, Op Carilamat kini ditamatkan sepenuhnya,” ujarnya.
Semalam media melaporkan APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sekurang-kurangnya lapan kru sebuah bot pancing yang hampir karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat Yan.
Insiden berkenaan dilaporkan oleh tekong bot pada pukul 10.45 pagi selepas seorang kru memaklumkan bot berkenaan hampir karam pada kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








