JENAYAH & MAHKAMAH

Tangkap ikan di zon larangan, bot nelayan tempatan ditahan

TANJUNG KARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 selepas disyaki melakukan dua kesalahan di perairan Sungai Tengi, di sini kelmarin.

Suspek dipercayai melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot itu dikesan Maritim Malaysia dalam rutin rondaan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 30 hingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah serta bot beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua kru bersama bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button