Kebergantungan Malaysia terhadap sumber bekalan makanan import membimbangkan
KUALA LUMPUR – Sampai bila Malaysia perlu bergantung kepada import bahan makanan yang tinggi? Itu persoalan yang dibangkitkan Ketua Pengarah Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R M Ravichandar, selepas import negara bagi barangan makanan termasuk benih tumbuhan mencecah RM70 bilion setahun dan meningkat kepada RM75.5 bilion tahun lalu.
Menurut Ravichandar, dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import, usaha terhadap pemerkasaan sektor pertanian domestik perlu diperhebat menerusi penggunaan teknologi dan kaedah pemasaran yang betul.
Jelasnya, suhu dan iklim di Malaysia yang berpotensi menghasilkan produk makanan dalam kuantiti yang tinggi, perlu dimanfaat sepenuhnya bagi meningkatkan eksport negara.
“Salah satu kekangan di Malaysia adalah kita ada tanah, kita ada potensi dan kita ada tumbuhan tetapi dua masalah besar di Malaysia adalah pemasaran produk dan yang kedua adalah teknologi yang mana petani kita tidak menggunakan teknologi pintar kerana kos yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Asia Smart Farming & Food Security di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, minggu lalu.

Terdahulu, ABS Greentech telah menjalinkan kerjasama keselamatan makanan dengan 11 perjanjian persefahaman (MoU) bernilai RM550 juta dimeterai membabitkan beberapa negara seperti Arab Saudi, Dubai dan Korea Selatan.
Menurut Ravichandar lagi, Malaysia ketinggalan dalam sektor pertanian berbanding negara lain atas faktor kurangnya ilmu dan dana bagi mendapatkan kemahiran dan teknologi pintar.
Justeru, dengan adanya pembiayaan yang dibawa dari luar negara, petani-petani kecil di negara ini akan mendapat manfaat hasil pertukaran teknologi, sekali gus dapat membina rumah hijau yang lebih canggih.
Mengulas lanjut, Ravichandar berkata, bagi membolehkan pasaran produk makanan Malaysia diperluas ke pasaran antarabangsa, petani harus mengurangkan penggunaan racun serangga perosak atau racun kimia yang digunakan dalam pertanian.
Sehubungan dengan itu, Ravichandar menegaskan teknologi Integrated Pest Management (IPM) atau dikenali sebagai Pengurusan Perosak Bersepadu perlu dipertingkatkan dalam kalangan petani sebagai pendekatan menyeluruh untuk kawalan serangga perosak secara berkesan.

“Kekangan yang dihadapi petani kita ialah tiada ilmu asas menyebabkan hasil pertanian tidak berkualiti sehingga sukar dieksport ke negara luar. Harus saya tekankan penggunaan racun perosak yang tiada kawalan menyebabkan hasil pertanian kita tidak diterima terutama di negara maju.
“Kalau kita suruh petani untuk mengurangkan penggunaan racun perosak apakah solusinya? Solusinya adalah dengan menggunakan IPM tetapi di Malaysia tiada revolusi IPM lagi tetapi di dunia IPM sejak 50 tahun dahulu Malaysia pun ada tetapi oleh kerana dasar Malaysia sudah berubah dari pertanian kepada perindustrian.
“Atas sebab itu, kami anjurkan Persidangan Asia Smart Farming and Food Security 2023 Event and Exhibition dan melibatkan beberapa negara bagi membincangkan apa yang diperlukan dalam sektor pertanian negara.
“Kami akan membawa masuk teknologi terbaik menggunakan IPM bagi membantu petani di Malaysia meningkatkan lagi hasil selain mengurangkan penggunaan racun perosak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ravichandar turut berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan bagi teknologi IPM agar hasil pertanian yang berkualiti dan terjamin keselamatannya dapat dipertingkatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








