BERITA SEMASA

Belia digalak sertai sektor pertanian melalui Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan

KUALA LUMPUR – Golongan belia digalakkan menceburi bidang pertanian melalui Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, projek itu adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan generasi muda memohon dan mengusahakan tanah pertanian secara sistematik.

“Di Johor terdapat sembilan TKPM, manakala di seluruh negara, jumlahnya mencecah 76 projek. Inisiatif ini membolehkan belia yang berminat menanam dan menternak mengakses tanah dengan lebih teratur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator K Saraswathy di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Chan berkata kementerian yakin langkah ini dapat membina tenaga kerja pertanian berkemahiran tinggi serta usahawan tani muda, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor agromakanan negara.

Beliau turut berkata, kepentingan penyelarasan rentas kementerian dan agensi bagi mengenal pasti tanah berpotensi untuk pembangunan pertanian, selaras dengan usaha memperluas peluang kepada golongan muda.

“Belia juga dinasihatkan mengikuti laman web dan media sosial jabatan pertanian negeri masing-masing kerana peluang permohonan tanah sering diumumkan secara terbuka,” katanya lagi.

Selain itu, Foong Hin menggesa pesawah melaporkan segera sebarang manipulasi sistem potongan berat padi oleh pihak pengilang atau pembeli di lapangan.

“Tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat pihak yang sengaja menjejaskan pendapatan pesawah melalui persaingan tidak sihat atau imbuhan kepada pihak tertentu,” katanya lagi.

Menurutnya, sistem potongan padi sepatutnya berasaskan rice check dan sebarang kes di mana faedah pesawah diketepikan perlu dilaporkan kepada kementerian untuk tindakan sewajarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button