Hannah Yeoh, suami dilapor bercerai selepas 18 tahun berkahwin
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan suaminya, Ramachandran Muniandy dilaporkan telah bercerai selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara itu dinyatakan dalam laman sesawang rasmi Hannah yang memaklumkan, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2008, tidak lama sebelum Hannah menceburi arena politik.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Shay dan Kayleigh yang masing-masing dilahirkan pada 2011 dan 2013.
Menurut maklumat sama, pasangan berkenaan dilaporkan bercerai pada 2026 selepas 18 tahun berkahwin.
Hannah merupakan Ahli Parlimen Segambut yang pertama kali memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.
Pada 2013, Hannah mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018 dan memegang jawatan itu sehingga 2020.
Hannah seterusnya dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2022 dan berkhidmat sehingga 2025, sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada Disember 2025.
Dalam politik DAP, Hannah kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung, Naib Pengerusi DAP serta anggota Jawatankuasa DAP Wanita.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








