BERITA SEMASA

Kelas bahasa antarabangsa serendah RM20 diperluas di Putrajaya

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menawarkan kelas bahasa antarabangsa dengan kadar serendah RM20 bagi setiap kohort, dalam usaha memperluas akses pembelajaran berkualiti khususnya kepada kanak-kanak dan remaja di wilayah itu.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan generasi muda selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan rakyat berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sejak diperkenalkan pada 2010, program kelas bahasa anjuran PPj itu telah memberi manfaat kepada seramai 570 peserta dalam kalangan warga Putrajaya.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kos minimum kepada peserta manakala kos sebenar pembelajaran termasuk elaun tenaga pengajar dan pengurusan latihan ditanggung oleh PPj,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bagi tahun 2026, program tersebut diperluaskan menerusi pelaksanaan dua kohort yang dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 240 peserta.

Kohort pertama akan berlangsung dari 11 April hingga 14 Jun, manakala kohort kedua dari 11 Julai hingga 6 September.

“Kelas yang ditawarkan merangkumi Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Mandarin dan Bahasa Korea.

“Ia akan diadakan pada hujung minggu selama lapan sesi di empat Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) Putrajaya,” katanya.

Lokasi pelaksanaan adalah di PPK Presint 8 bagi Bahasa Mandarin, PPK Presint 9 (Bahasa Inggeris), PPK Presint 11 (Bahasa Arab) dan PPK Presint 16 (Bahasa Korea).

Menurut Hannah, program itu menyasarkan penyertaan peserta berumur tujuh tahun ke atas, dengan bayaran pendaftaran minimum RM20 dikenakan bagi memastikan komitmen peserta.

“Kadar ini jauh lebih rendah berbanding yuran kelas bahasa komersial di pasaran yang boleh mencecah antara RM320 hingga RM480 bagi lapan sesi pembelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Hannah, PPj turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneroka pengiktirafan sijil penyertaan program sebagai sebahagian daripada aktiviti sokongan dalam Pentaksiran Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PJSK).

Selain itu, Carsome tampil sebagai rakan strategik dengan menyumbang RM40,000 bagi menjayakan program berkenaan.

Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat itu turut menyumbang 100 keping kad minyak bernilai RM50 setiap satu kepada golongan asnaf dan B40 di Putrajaya.

“Kerajaan komited memastikan akses kepada peluang pembelajaran berkualiti terus diperluas secara inklusif dan mampan khususnya kepada generasi muda daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya menyeru agar peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak di Putrajaya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, memperluas horizon pemikiran dan memperkukuh daya saing pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button