
Peruntukan sukan bola sepak kita jauh lebih rendah – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Jumlah peruntukan yang diterima oleh pasukan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya bersamaan 10 peratus daripada dana yang diterima oleh pasukan seperti Korea, Jordan dan Bahrain.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam perbandingan pasukan-pasukan kumpulan E Piala Asia 2023 yang lalu, Malaysia adalah negara yang menerima peruntukan paling sedikit.
“Contohnya, persatuan bola sepak Korea (jika Malaysia adalah FAM) menerima RM376 juta, Jordan dan Bahrain (RM84.6 juta) manakala kita hanya menerima RM38 juta. Itu kira-kira 10 peratus sahaja.
“Bagi peruntukan untuk pasukan negara pula, Korea menerima RM94 juta, Jordan dan Bahrain masing-masing lebih RM20 juta manakala kita menerima hanya RM7 juta,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyambut ketibaan pasukan Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Justeru Hannah menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menganggap peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai ‘durian runtuh’ untuk pembangunan sukan bola sepak negara.
“Sebenarnya bagaimana kita hendak menilai RM5 juta ini adalah melalui perbandingan dana yang diterima oleh pasukan-pasukan negara lain yang beraksi di Piala Asia,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyifatkan dana berkenaan cukup berharga untuk dimanfaatkan.
“Saya berharap semua faham bahawa dana ini walaupun bukan satu jumlah yang banyak tapi sangat bermakna lagipun pasukan kebangsaan dalam dua tahun lepas telah membuktikan bahawa jurulatih Kim Pan Gon membuat peningkatan yang cukup baik.
“Sebenarnya FAM memerlukan banyak lagi dana sekiranya mahu Harimau Malaya berkembang di peringkat antarabangsa, dan untuk mempunyai peluang untuk menang pada Piala Asia seterusnya kita mesti memastikan kita mempunyai sumber untuk berlatih dan mempunyai pendedahan seperti pasukan lain,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








