Kerajaan tidak pertimbang permit ‘ulat foto’ atas faktor keselamatan
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mempertimbangkan pemberian permit atau lesen khas kepada individu yang menawarkan perkhidmatan fotografi tidak rasmi atau ‘ulat foto’ di kawasan tumpuan pelancong di ibu negara atas faktor keselamatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, hasil lawatan tapak bersama pihak pengurusan dan keselamatan mendapati kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk aktiviti mengambil gambar.
“Apa yang kita lihat adalah isu keselamatan. Kawasan tersebut tidak selamat untuk aktiviti mengambil gambar.
” Atas dasar keselamatan, kita tidak boleh mempertimbangkan pemberian lesen,” katanya selepas menghadiri Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Khas Mobiliti Komuniti Putrajaya, hari ini.
Hannah berkata, hasil tinjauan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, serta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pasukan keselamatan di KLCC, mendapati terdapat pengurangan aktiviti ‘ulat foto’ di kawasan berkenaan.
Menurutnya, DBKL telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di lokasi terbabit, selain operasi bersepadu turut dijalankan oleh pihak polis bersama DBKL.
“Sistem hebahan dalam beberapa bahasa turut dipasang di kawasan tersebut dengan pengumuman dibuat setiap 10 minit bagi memberi amaran kepada pelancong agar tidak menggunakan khidmat ‘ulat foto’,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan semakan terhadap individu yang ditahan mendapati ada dalam kalangan mereka menggunakan identiti palsu, termasuk warga asing.
“Sekarang ini bukan sahaja isu ketiadaan lesen, malah ada yang menggunakan identiti palsu dan bukan warganegara.
“Ini antara sebab utama kita tidak boleh mempertimbangkan pemberian lesen,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan ‘ulat foto’ telah diberi amaran supaya menghentikan kegiatan itu di kawasan tumpuan pelancong di ibu negara berikutan pelbagai isu keselamatan dan integriti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








