BERITA SEMASA

Kontrak DRT: SPRM telah lakukan siasatan terperinci

PUTRAJAYA – Siasatan terperinci mengenai penganugerahan kontrak kepada syarikat milik suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh oleh Kerajaan Negeri Selangor dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah melakukan siasatan sekiranya wujud salah laku dalam pelantikan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd. (Asia Mobility) bagi projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Bagaimanapun katanya, hasil daripada siasatan mendapati tiada sebarang elemen kesalahan dalam penganugerahan kontrak DRT itu.

“Kami sudah semak dengan terperinci. Jadi apa lagi yang boleh dilakukan, tiada apa yang boleh kami lakukan, ” katanya ketika sesi “Executive Talk” bersama media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco Selangor, Ng Sze Han memaklumkan salah satu daripada syarikat yang dipilih dalam projek DRT itu adalah syarikat milik
suami Hannah Yeoh, Ramachandran Muniandy selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan satu tindakan yang telus perlu dilakukan sekiranya ada pihak yang melaporkan perkara itu.

Anwar juga mengulangi pendirian menyerahkan tindakan terhadap perkara itu kepada pihak berkuasa.

‘’Apa yang boleh saya cakap seperti yang disebut Perdana Menteri, serahkan ini kepada pihak berkuasa,” ujar Azam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button