
WANG HARAM tidak pernah berubah warnanya, namun yang berubah hanyalah cara ia disembunyikan bagi mengaburkan mata pihak berkuasa. Begitulah realiti di sebalik aktiviti pengubahan wang haram yang kini menjadi ancaman serius kepada integriti sistem kewangan negara.
Secara takrifannya, pengubahan wang haram merupakan satu proses terancang untuk menyembunyikan asal usul dana yang diperoleh daripada aktiviti jenayah. Antara aktiviti jenayah yang sering menjadi punca kepada aliran wang haram ini termasuklah rasuah, penipuan, pengedaran dadah serta jenayah terancang.
Matlamat utama pengubahan wang haram adalah untuk mengintegrasikan dana haram ke dalam sistem kewangan tanpa menimbulkan syak wasangka daripada penguatkuasa undang-undang atau badan kawal selia kewangan. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan wang yang ‘kotor’ itu kelihatan seolah-olah datang daripada sumber yang sah di sisi undang-undang.
Proses utama dalam melakukan pengubahan wang haram berlaku dalam tiga (3) peringkat iaitu Penempatan (Placement), Pelapisan (Layering), dan Integrasi (Integration).
Penempatan merupakan peringkat pertama dalam proses pengubahan wang haram. Pada peringkat ini, wang yang diperoleh daripada aktiviti haram mula dimasukkan ke dalam sistem kewangan bagi mengasingkannya daripada sumber jenayah asal. Penjenayah akan cuba memastikan wang tersebut tidak lagi kelihatan berada di luar sistem bagi mengelakkan kecurigaan.
Antara taktik yang digunakan termasuklah melakukan deposit tunai secara berperingkat, memecahkan transaksi dalam jumlah kecil (structuring), atau menggunakan perniagaan berasaskan tunai untuk menyalurkan wang tersebut.
Peringkat kedua dikenali sebagai Pelapisan. Pada peringkat ini, wang yang ditempatkan dalam sistem kewangan akan melalui pelbagai siri transaksi yang lebih kompleks bagi menjarakkan rantaian asal usul wang tersebut supaya ianya semakin sukar untuk dijejak. Sebagai contoh, wang akan dipindahkan ke pelbagai akaun bank; Akaun A ke Akaun B dan C melalui syarikat-syarikat, atau ditukarkan kepada pelbagai aset bagi memastikan punca asalnya semakin sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
Peringkat terakhir pula dikenali sebagai Peringkat Integrasi yang menyaksikan wang yang telah ‘dikaburkan’ muncul semula dalam bentuk aset atau pelaburan yang kelihatan sah. Pada peringkat ini, penjenayah mula menikmati hasil haram mereka dengan membeli hartanah, kenderaan mewah, barangan bernilai tinggi sebagai simbol kekayaan dan status, termasuk membuat pelaburan dan modal perniagaan.
Di mata masyarakat, individu yang melakukan pengubahan wang haram ini kelihatan seperti usahawan berjaya, sedangkan kekayaan tersebut berakar umbi daripada aktiviti haram yang salah disisi undang-undang.
Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan kes penyelewengan dana awam paling berprofil tinggi dalam sejarah negara. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) antara agensi terawal yang menjalankan siasatan menyeluruh dan mengelarkan skandal 1MDB sebagai salah satu skandal “kleptokrasi terbesar dalam sejarah”.
DOJ melaporkan bahawa skandal 1MDB telah menyebabkan berlakunya penyelewengan dana awam bernilai kira-kira RM42 bilion yang telah disalurkan ke pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg dan United Kingdom melalui rangkaian transaksi kewangan yang kompleks.
Penyelewengan dana dalam kes 1MDB telah melibatkan aliran dana yang besar merangkumi transaksi kewangan rentas sempadan, penggunaan pelbagai entiti korporat dan akaun luar pesisir (shell company), serta penglibatan beberapa bidang kuasa asing dalam proses pengesanan, pembekuan, pelucuthakan dan pemulangan aset.
Keadaan ini menjadikan kes 1MDB sebagai contoh yang sangat signifikan untuk melihat gambaran jenayah pengubahan wang haram yang sebenar disamping menilai cabaran dalam pemulihan aset, kerana usaha pemulihannya tidak hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan domestik, tetapi turut memerlukan koordinasi perundangan, bantuan perundangan bersama, kerjasama penguatkuasaan antarabangsa, dan keupayaan teknikal untuk menjejak aliran wang serta pemilikan sebenar aset.
Daripada usahasama dan kerjasama yang dijalankan di peringkat antarabangsa, SPRM melaporkan bahawa sebanyak RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng telah berjaya dijejak dan dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia.
Aktiviti pengubahan wang haram bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan undang-undang, malah memberikan kesan buruk terhadap ekonomi sesebuah negara serta ekonomi global.
Pada peringkat negara, penggubahan wang haram boleh mengurangkan hasil kerajaan kerana wang daripada aktiviti haram sering berkait dengan pengelakan cukai. Aliran wang tersebut juga boleh mengganggu persaingan pasaran, menaikkan harga aset seperti hartanah dan menyebabkan sumber ekonomi disalurkan kepada aktiviti yang kurang produktif. Selain itu, kegiatan ini boleh menjejaskan kestabilan institusi kewangan, mengurangkan keyakinan pelabur dan merosakkan reputasi negara.
Pada peringkat global pula, wang haram mudah bergerak merentasi sempadan melalui sistem kewangan antarabangsa. Aliran modal yang tidak menentu boleh meningkatkan turun naik kadar pertukaran dan pasaran kewangan.
Sehubungan itu, masyarakat dan institusi kewangan digesa agar sentiasa peka terhadap indikator awal pengubahan wang haram. Beberapa corak transaksi yang perlu dicurigai termasuklah transaksi yang terlalu besar dan tidak sepadan dengan profil pendapatan, penggunaan banyak akaun bank tanpa alasan perniagaan yang kukuh, sumber wang yang tidak jelas atau meragukan, pindahan wang secara berulang dalam tempoh singkat dan pembelian aset luar biasa yang dilakukan secara mendadak.
Kegagalan membendung gejala ini membolehkan hasil jenayah terus bergerak aktif dalam ekonomi negara. Ia bukan sahaja merosakkan persaingan perniagaan yang sihat, malah boleh melemahkan pertumbuhan ekonomi, menghakis kepercayaan terhadap institusi dan menjejaskan kestabilan kewangan.
Kesimpulannya, perjalanan wang haram daripada sumber jenayah sehingga menjadi aset yang nampak sah adalah satu rantaian yang panjang. Namun, dengan pengawasan yang ketat dan sifat ‘cakna’ masyarakat, rantaian ini mampu diputuskan demi kesejahteraan negara.
ARTIKEL OLEH:
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








