Guru wanita buat 21 transaksi pindahan wang, rugi RM325,000 diperdaya ‘pegawai AMLA’
KUANTAN – Seorang guru wanita melakukan 21 transaksi pemindahan wang berjumlah RM325,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui telefon yang menyamar sebagai pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan polis, kononnya berkaitan siasatan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon pada 25 September tahun lalu daripada individu yang menyamar sebagai pegawai AMLA sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya pegawai polis.
Menurut beliau, suspek mendakwa beberapa akaun bank telah dibuka atas nama mangsa di Johor dan akaun peribadinya kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Bagi tujuan siasatan palsu tersebut, mangsa diarahkan memindahkan wang sebagai jaminan ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa kemudian membuat 21 transaksi pindahan wang melibatkan pindahan tunai dan pindahan akaun bank ke lima akaun berbeza bagi tempoh antara 29 September hingga 4 November tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM325,000 yang diperoleh daripada simpanan sendiri dan pinjaman bank,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal menghubungi suspek selepas nombor telefon disekat dan wang yang dijanjikan tidak dipulangkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, khususnya yang mendakwa mewakili agensi penguat kuasa atau institusi kewangan.
Sebarang panggilan mencurigakan disaran disahkan terus dengan pihak polis atau institusi berkaitan, selain membuat semakan nombor akaun di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








