JENAYAH & MAHKAMAH

Keluarga Altantuya perlu pulangkan RM4.7 juta, Mahkamah Rayuan lepaskan kerajaan

PETALING JAYA – Keluarga warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, diarahkan memulangkan semula RM4.7 juta kepada kerajaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan wanita itu hampir dua dekad lalu.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang turut dikaitkan dengan kes berprofil tinggi itu, juga layak menerima bayaran balik jumlah sama selepas ditolak RM1.38 juta ganti rugi yang diberikan oleh mahkamah tiga hari lalu.

Bayaran balik itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2025 yang mengarahkan kerajaan dan Razak masing-masing membayar RM4.7 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM9.4 juta, untuk didepositkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Wang berkenaan, termasuk faedah, disimpan dalam akaun pemegang amanah firma guaman Karpal Singh & Co.

Menurut peguam Razak, Abraham Au, Mahkamah Rayuan kini mengarahkan bayaran balik dibuat dalam tempoh 21 hari, berbanding 30 hari seperti ditetapkan sebelum ini.

“Ganti rugi RM1.38 juta itu akan ditanggung secara bersama oleh tiga pihak termasuk dua bekas anggota polis, selepas mahkamah mendapati mereka bertanggungjawab secara bersama dan berasingan,” memetik laporan NST online.

Beliau turut berkata, Razak masih belum membuat keputusan sama ada akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap perbuatan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, kerana mereka tidak menjalankan tugas rasmi ketika pembunuhan Altantuya berlaku.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Razak, Sirul dan Azilah bertanggungjawab terhadap kematian Altantuya.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada 2022 mengarahkan kerajaan dan Razak membayar RM5 juta sebagai ganti rugi serta faedah kepada keluarga Altantuya.

Sementara itu, peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo berkata, pihaknya bercadang memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan undang-undang sama ada majikan, dalam kes ini kerajaan, boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan menyalahi undang-undang kakitangannya.

Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2015. Azilah kini menjalani hukuman penjara 40 tahun, manakala Sirul masih berada di Australia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button