BERITA SEMASA

RTM sifatkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 antara yang paling meriah

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, sekali gus mencerminkan semangat patriotik rakyat Malaysia yang terus kukuh.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, keseluruhan perjalanan sambutan itu berjalan lancar seperti yang diharapkan.

“Pertama sekali kita mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

“Semuanya berjalan lancar, Alhamdulillah. Apa yang kita doakan dan harapkan supaya ia berjalan lancar, semuanya dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, dari sudut penyiaran dan penerangan, kerjasama antara RTM dan agensi berkaitan juga menunjukkan hasil yang baik.

“Setakat ini kita tengok kombinasi itu, Alhamdulillah bagus. Sambutan di sini nampak mantap dan kita harap ia berterusan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

“Kita pun harap ada perubahan-perubahan baharu dan penambahbaikan. Apa-apa elemen penambahbaikan akan diletakkan dari masa ke masa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ashwad turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melupakan mereka yang sedang berdepan musibah ketika negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

“Kita juga berdoa agar masalah kebakaran di Kalimantan dapat diselesaikan dengan cepat dan operasi mencari serta menyelamat di Nepal dipermudahkan.

“Walaupun kita meriah menyambut di sini, kita tidak lupa mereka yang berada di sana dan sedang berdepan dengan situasi sukar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button