BERITA SEMASA

‘Bergaduh hanya di mulut, akhirnya berbaik’, iklan Merdeka BHPetrol 2026 curi perhatian

BUKAN aksi dramatik atau kisah air mata, sebaliknya pandangan seorang pekerja stesen minyak mengenai ragam rakyat Malaysia menjadi antara elemen yang mencuri perhatian dalam iklan Merdeka BHPetrol 2026.

Menerusi watak Shakoor Rahman yang dilakonkan Fikry Ibrahim, penonton dibawa melihat kehidupan masyarakat berbilang kaum dari sudut pandang ‘orang luar’ yang digambarkan sudah lapan tahun menetap di Kelantan.

Menariknya, Shakoor bukan sekadar menjadi watak yang mencuit hati menerusi loghat Kelantan, sebaliknya pemerhati yang melihat bagaimana masyarakat berbilang kaum berinteraksi dalam kehidupan seharian.

Dalam video berkenaan, Shakoor menyentuh mengenai pandangan segelintir pihak di media sosial yang mendakwa rakyat Malaysia tidak begitu serasi antara satu sama lain kerana perbezaan kaum.

Namun, apa yang dilihatnya sepanjang berada di negara ini memberikan gambaran berbeza.

Watak berkenaan menggambarkan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang mudah bergaul, saling membantu dan tidak kekok berinteraksi walaupun berlainan kaum.

Malah, dia menyifatkan perselisihan yang berlaku sesama masyarakat sebagai perkara biasa apabila menggambarkannya sebagai “bergaduh hanya di mulut”, sebelum mereka akhirnya kembali berbaik.

Situasi itu menjadi antara elemen yang menjadikan video berkenaan lebih dekat dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Shakoor turut digambarkan kehairanan melihat bagaimana rakyat daripada pelbagai kaum boleh bergaul antara satu sama lain seolah-olah sudah lama mengenali.

Mesej berkenaan turut diterjemahkan menerusi beberapa situasi dalam video, termasuk apabila seseorang yang tidak mempunyai wang di stesen minyak dibantu individu lain untuk membuat bayaran.

Adegan tersebut mengetengahkan sikap saling membantu yang masih wujud dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Pada masa sama, watak Shakoor turut menyatakan rasa bangga selepas melihat sendiri kebaikan rakyat Malaysia yang ditemuinya sepanjang berada di negara ini.

Pendekatan santai dan diselitkan unsur jenaka menjadikan mesej perpaduan yang dibawa video berkenaan tidak terlalu berat, sebaliknya disampaikan menerusi situasi yang dekat dengan kehidupan masyarakat.

Video itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman masing-masing menerima bantuan daripada individu berlainan kaum.

Seorang pengguna berkongsi pengalaman ketika anaknya muntah di Hospital Putrajaya sebelum seorang wanita berbangsa Cina datang membantu membersihkan muntah bayi berkenaan serta memberikan tisu.

“Yang jahat tu satu je memecah belahkan rakyat… sebab saya memang alami benda ni di Hospital Putrajaya. Anak saya muntah di kerusi dan saya memang tiada tisu atau kain. Tiba-tiba seorang mak cik Cina datang tolong lap muntah dekat bayi dan bagi tisu kepada saya.

“Terharu weh… sampai sekarang masih teringat-teringat,” katanya.

Seorang lagi pengguna pula berkongsi pengalaman apabila isterinya pengsan di MyTOWN Cheras, Kuala Lumpur sebelum dibantu seorang wanita berbangsa Cina yang memberikan minyak cap kapak dan biskut.

Perkongsian sedemikian menunjukkan mesej mengenai perpaduan yang diketengahkan menerusi video berkenaan turut mengingatkan orang ramai kepada pengalaman mereka sendiri menerima bantuan tanpa mengira perbezaan kaum.

Dalam tempoh sehari selepas diterbitkan, video berkenaan meraih lebih 56,000 tontonan di YouTube selain menerima puluhan ribu tanda suka menerusi perkongsian netizen di platform media sosial lain.

Menerusi watak Shakoor, video tersebut secara tidak langsung mengajak masyarakat melihat semula makna perpaduan yang tidak semestinya diterjemahkan menerusi perkara besar.

Sebaliknya, ia boleh hadir dalam bentuk paling mudah, iaitu membantu individu yang memerlukan, berinteraksi tanpa prejudis dan kembali berbaik selepas perselisihan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button