KMJG X JAGO 2026 WPKL, Putrajaya buka tirai semarak patriotisme
KUALA LUMPUR – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGO 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKL) membuka tirainya hari ini bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat sempena Bulan Kebangsaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, konvoi yang bermula di Pasar Taman Sri Sentosa, Lembah Pantai akan menjelajah enam lokasi sekitar ibu negara sebelum berakhir di Wangsa Maju.
Menurutnya, antara lokasi persinggahan ialah Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Hospital Rehabilitasi Cheras dan Petronas Cochrane Perkasa.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan melakukan enam persinggahan di seluruh Kuala Lumpur sebelum berakhir di NZ Curry House, Wangsa Maju,” memetik Awani online.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, edisi kali ini melibatkan kira-kira 35 peserta dengan 10 kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Antara agensi terlibat ialah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya lagi.
Beliau berkata, antara tarikan utama program kali ini ialah penggunaan kenderaan pelbagai guna JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) yang dilengkapi skrin LED gergasi untuk memainkan lagu-lagu patriotik sepanjang kembara berlangsung.
“Di setiap persinggahan, kit 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan diedarkan kepada wakil kluster selain pengagihan Jalur Gemilang kepada masyarakat, persembahan kebudayaan, nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan rasa cinta kepada negara, malah menggalakkan penglibatan komuniti termasuk Komuniti MADANI serta merapatkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, Fahmi turut menyerahkan Kit Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti MADANI Taman Sri Sentosa, Mohammad Sarizal Mohd Ali dan mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengunjung sempena Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Program anjuran JAPEN WPKL itu merupakan inisiatif turun padang secara bersepadu bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan negara.
Majlis penutup program dijadual berlangsung di NZ Curry House, Wangsa Maju dan akan disempurnakan Pengarah Penerangan WPKL, Normaizatulakmal Tujad serta dihadiri Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan.
Pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk persembahan kompang, gendang India, gendang Cina dan PENTARAMA @JAGO turut diadakan bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








