BERITA SEMASA

Perlis negeri pertama wajibkan caruman LINDUNG Kendiri bagi penjaja

KANGAR – Perlis menjadi negeri pertama mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) sebagai syarat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan bagi penjaja di seluruh negeri itu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) itu bertujuan memastikan penjaja mendapat perlindungan sewajarnya.

“Matlamatnya ialah untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa pergi dan balik atau ketika menjalankan perniagaan.

“Penjaja merupakan golongan berisiko yang kebanyakannya belum mempunyai perlindungan insurans, sedangkan mereka bergantung pada pendapatan harian untuk menyara keluarga,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU antara Perkeso dan MPPs di sini hari ini.

Pada majlis menandatangani MoU itu Perkeso diwakili Mohammed Azman manakala MPPs diwakili Yang Dipertuanya Affendi Rajini Kanth dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Mohammed Azman berkata, sekiranya penjaja mempunyai pekerja, individu itu juga perlu didaftarkan dan dicarumkan kerana mereka turut berisiko mengalami kemalangan atau kecederaan ketika bekerja.

Beliau berkata, inisiatif MPPs itu berpotensi diperluas kepada jabatan kerajaan lain di negeri itu bagi meningkatkan perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan warga kerjanya.

“Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat pengurusan untuk dipertimbangkan dengan bergantung terhadap kemampuan peruntukan setiap jabatan.

“Jika jabatan berkenaan mempunyai peruntukan yang mencukupi, insya-Allah kita boleh menggalakkan mereka mengambil langkah yang sama seperti MPPs,” katanya.

Sementara itu, Perkeso dalam kenyataan memaklumkan setakat September lepas, 43 peratus daripada 2,521 penjaja berdaftar di Perlis aktif mencarum di bawah skim LINDUNG Kendiri, melibatkan penyaluran faedah berjumlah RM1.3 juta kepada 379 penerima skim itu termasuk RM160,684 kepada 30 penerima daripada sektor penjaja. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button