POLITIK

BERSATU bukan punca kemelut politik Perlis – Ketua Dewan Ulama negeri

CYBERJAYA – Punca utama kemelut politik di Perlis adalah kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik menyebabkan jawatan menteri besar beralih kepada BERSATU, dakwa Ketua Dewan Ulama negeri, Ahmad Adnan Fadzil.

Beliau berkata, ‘pihak yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik’ gagal berunding secara berkesan dengan Istana Perlis bagi pihak PAS berhubung penukaran menteri besar.

Tambahnya, beliau dimaklumkan bahawa “pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan menteri besar baharu daripada BERSATU, Tuanku Raja (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) masih membuka peluang untuk menteri besar tersebut datang daripada PAS.”

“Namun, ADUN PAS gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad dalam masa yang sama menegaskan berpendirian beliau bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan PAS Perlis, termasuk tiga orang ADUN yang dihentikan keahlian.

“Begitu juga BERSATU, yang pada hemat saya tidak terlibat langsung dalam kemelut ini,” katanya.

Ahmad berkata jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab adalah mengambil kembali amanah, menilai semula kesilapan, dan melakukan pembetulan.

“Tiada sesiapa yang perlu meletakkan jawatan,” katanya, sambil menyeru PAS kembali menyertai barisan exco.

“Kerajaan Perlis wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh Perikatan Nasional, dengan barisan exco daripada gabungan PAS dan Bersatu, dengan perubahan hanya melibatkan jawatan menteri besar sahaja.”

Kemelut di Perlis tercetus selepas ADUN PN iaitu lima daripada BERSATU dan tiga daripada PAS mengemukakan akuan berkanun bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri sebagai menteri besar.

Susulan itu, Shukri yang juga ADUN Sanglang melepaskan jawatan tersebut atas faktor kesihatan Khamis lalu.

Tempat beliau kemudiannya digantikan ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan semua exco PAS akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti, dan parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button