BERITA SEMASAPOLITIK

PAS bimbang isu Titah Adendum Najib undang cabaran terhadap kuasa Agong, Raja-raja

KUALA LUMPUR – PAS memberi amaran bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak berkaitan pelaksanaan Titah Addendum tahanan di rumah berisiko membuka ruang mencabar kedudukan serta kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menghormati keputusan badan kehakiman sebagai salah satu tonggak utama kedaulatan undang-undang, namun ia tidak boleh digunakan sehingga menafikan hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut beliau, kebimbangan timbul apabila keputusan mahkamah dilihat berpotensi melemahkan, mentafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diperuntukkan secara jelas dan eksklusif kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman adalah kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri yang dilaksanakan melalui Lembaga Pengampunan serta tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman atau penerimaan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebarang usaha untuk meletakkan kuasa pengampunan Di-Raja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah berisiko menceroboh ketetapan asas sistem pemerintahan negara.

Beliau berkata, apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa budi bicara tersebut adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.

Justeru, katanya, ia tidak boleh dipersoalkan hanya disebabkan kekaburan pentadbiran, isu dokumentasi atau pendedahan yang dibuat secara berperingkat.

“Tindakan menggunakan alasan sedemikian hanya akan menghakis serta merendahkan wibawa, kedaulatan dan kedudukan Raja-raja seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, PAS berpandangan isu Addendum yang merupakan sebahagian daripada keputusan langsung Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 wajar diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang dengan segera tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran, selari dengan amalan pengampunan sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan prinsip Perlembagaan tidak boleh dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu tertentu kerana sebarang persepsi layanan tidak setara hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan berteraskan Perlembagaan dan undang-undang.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, PAS turut menyatakan sokongan penuh terhadap hak Najib Razak untuk memfailkan rayuan ke mahkamah lebih tinggi.

“PAS menegaskan hak rayuan adalah jaminan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan secara bebas, adil serta tanpa prejudis,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Takiyuddin berkata,
PAS menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya bertindak secara berani, telus dan setia kepada prinsip Perlembagaan.

“Langkah ini penting bagi memastikan keadilan ditegakkan secara konsisten serta kehormatan dan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button