BERITA SEMASA

Sekolah di Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa esok, aktiviti luar ditangguh jika IPU melebihi 100

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur akan meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka seperti biasa esok, meskipun keadaan jerebu masih perlu diberi perhatian.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

“Dalam masa sama, warga sekolah termasuk murid turut digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan susulan keadaan jerebu ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut JPWPKL, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah berikutan keadaan itu.

“Bagaimanapun, pihak ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada pihak sekolah,” tambahnya.

JPWPKL turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berhubung situasi jerebu.

Hal ini kerana keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan JPWPKL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button