Serian kembali catat IPU tahap bahaya
KUALA LUMPUR – Tahap jerebu di Serian, Sarawak kembali berada pada tahap bahaya apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan itu mencecah 302 pagi ini.
Bacaan berkenaan direkodkan menerusi stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS).
Perkembangan itu berlaku sehari selepas pengisytiharan darurat jerebu di seluruh bahagian Serian yang dibuat susulan pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan awam ditamatkan.
Pengisytiharan darurat berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat lalu.
Sementara itu, tiga kawasan lain di Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat pagi ini.
Kuching mencatatkan IPU 243, diikuti Samarahan (237) dan Sri Aman (232).
Beberapa kawasan lain di negeri itu pula merekodkan bacaan tidak sihat, antaranya Mukah dengan IPU 184, Sarikei (183), Samalaju (178), Bintulu (170), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (169), Miri (169) dan Sibu (166).
Di Selangor, Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi dengan IPU 168, diikuti Shah Alam (165), Banting (159), Klang (156), Petaling Jaya (154) dan Kuala Selangor (152).
Keadaan sama turut berlaku di beberapa kawasan di Perak apabila Tasek Ipoh merekodkan IPU 162, Seri Manjung (159), Tanjung Malim (156) dan Pegoh Ipoh (152).
Di ibu negara, Batu Muda mencatatkan IPU 157 manakala Cheras merekodkan 154, selain Putrajaya dengan bacaan 155.
Kawasan lain yang turut berada pada tahap tidak sihat ialah Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan masing-masing dengan bacaan 157 dan 153, diikuti Bukit Rambai (149) serta Alor Gajah (144) di Melaka.
Labuan pula mencatatkan IPU 128 manakala Segamat, Johor merekodkan 106.
Secara keseluruhan, sebanyak 37 kawasan di seluruh negara berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan merekodkan bacaan baik.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






