Jerebu New York cetus kebimbangan menjelang final Piala Dunia
NEW JERSEY – Keadaan ruang udara bandar raya New York yang diselubungi jerebu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap pencemaran udara menjelang aksi final Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol di Stadium New Jersey, Ahad ini.
Amaran kualiti udara telah dikeluarkan di bandar raya berkenaan selepas asap daripada kebakaran hutan di Kanada dikesan bergerak ke arah selatan menuju ke wilayah New York.
Bagaimanapun, peramal cuaca menjangkakan hujan pada Sabtu ini berupaya membantu mengurangkan jerebu sekali gus memperbaik kualiti udara sebelum perlawanan akhir berlangsung.
Pertembungan itu bakal menyaksikan Sepanyol memburu gelaran dunia kedua selepas kali terakhir muncul juara di Afrika Selatan pada 2010, manakala Argentina berusaha mempertahankan kejuaraan bagi menyamai rekod tradisi Brazil pada 1962.
Sementara itu, beberapa bekas bintang bola sepak dunia berpandangan keadaan jerebu yang melanda bandar New York tidak akan menjejaskan kehangatan aksi final tersebut.
Bekas pemain Jerman, Lucas Podolski berkata, situasi itu tidak akan memberi kesan besar terhadap corak permainan kerana kedua-dua pasukan perlu berdepan keadaan cuaca sama dalam usaha memburu trofi berprestij itu.
“Anda hanya perlu turun ke padang dan berjuang habis-habisan untuk merebut gelaran ini,” katanya memetik laporan Reuters.
Pandangan sama turut dikongsi bekas pemain Argentina, Javier Mascherano yang mempunyai pengalaman luas beraksi serta mengendalikan pasukan di Amerika Syarikat.
Beliau menyifatkan fenomena berkenaan sebagai sesuatu yang pelik, namun tetap yakin ia tidak akan mengganggu perjalanan perlawanan akhir.
Setakat ini, kesan sebenar jerebu terhadap kesihatan pemain masih belum dapat dipastikan, namun penganjur berharap ramalan hujan pada Sabtu mampu membantu memulihkan keadaan udara di New York sebelum aksi kemuncak Piala Dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








