Jual makanan kepada rakan universiti, titik mula Adri Mustaqim bina jenama Victo Authentic
KUALA LUMPUR – Bermula dengan menjual makanan kepada rakan sekuliah demi menampung keperluan kewangan, pengasas Victo Authentic, Adri Mustaqim Amrul Hazari tidak menyangka langkah kecil ketika bergelar mahasiswa akhirnya membuka jalan kepada perjalanan perniagaannya.
Adri berkata, minat berniaga mula timbul ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di UniKL Business School apabila beliau tidak menerima elaun bulanan, sebaliknya hanya yuran pengajian ditanggung oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Keadaan itu mendorongnya mencari pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada ibu bapanya yang ketika itu sudah bersara.
“Saya mula berniaga makanan ketika belajar. Saya memang suka memasak dan menjual makanan kepada kawan-kawan di universiti.
“Alhamdulillah, mereka suka dan sambutannya baik. Dari situ saya mula mencari peluang lain untuk menambah pendapatan,” katanya ketika berkongsi perjalanan perniagaannya dalam episod kedua podcast Macam Tulah terbitan Malaysia Tribune.
Bagaimanapun, permulaan yang lebih signifikan kepada pembinaan jenama pakaiannya berlaku apabila beliau menyedari reka bentuk baju kelab sukan di universiti kurang menarik.
Sebagai pemain ragbi yang mewakili universiti, Adri melihat peluang untuk menghasilkan pakaian dengan reka bentuk lebih baik, meskipun tidak mempunyai asas dalam bidang reka grafik.
Beliau mengambil inisiatif mempelajari kemahiran mereka bentuk secara kendiri menerusi YouTube, termasuk teknik penyuntingan imej dan penghasilan grafik yang ketika itu perlu dilakukan secara manual.
“Jadi, saya belajar sendiri reka bentuk melalui YouTube. Saya mula perlahan-lahan belajar macam mana nak buat clipping mask, image trace dan sebagainya.
“Pada mulanya, saya hanya mereka bentuk baju untuk kelab ragbi UniKL sendiri. Apabila kawan-kawan nampak dan bertanya siapa yang buat baju itu, saya beritahu saya yang mereka bentuknya,” katanya.
Daripada projek kecil itu, Adri mula menerima permintaan untuk menghasilkan baju kelab daripada rakan-rakannya yang turut memegang jawatan dalam kelab universiti masing-masing.
Beliau kemudian mencari kilang percetakan pakaian menerusi carian Google untuk merealisasikan tempahan, walaupun ketika itu belum mempunyai rangkaian pembekal tetap atau sistem harga yang tersusun.
Perniagaan tersebut berkembang secara perlahan melalui hubungan sesama rakan dan promosi dari mulut ke mulut tanpa bergantung kepada iklan berbayar.
Menurut Adri, ketika masih bergelar mahasiswa, tempahan yang diterima adakalanya hanya sekitar dua hingga tiga pesanan sebulan, namun pengalaman itu menjadi asas penting untuk beliau memahami selok-belok perniagaan.
Pada 2017, beliau memulakan perniagaan berkenaan menerusi Victorian Boys Resources sebelum mendaftarkan perniagaannya secara rasmi sebagai Victo Authentic Enterprise selepas mengikuti subjek pengurusan perniagaan kecil pada semester terakhir pengajian.
Pengalaman mengurus tempahan turut mengajarnya bahawa berniaga bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi menuntut komitmen untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Beliau berkongsi pengalaman menerima tempahan segera sebanyak 300 helai baju daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika menjalani latihan industri di Petronas pada 2019.
Tempahan itu perlu disiapkan dalam tempoh singkat bagi kegunaan pelanggan pada hari Jumaat, sekali gus memaksanya menguruskan pengeluaran dan penghantaran sendiri.
Adri berkata, baju berkenaan berjaya disiapkan pada hari Khamis sebelum beliau menaiki ETS untuk menghantarnya kepada pelanggan di utara Semenanjung.
“Bagi saya, apabila kita sudah berjanji dengan pelanggan, kita perlu tunaikan. Kita perlu berjumpa pelanggan, memenuhi jangkaan mereka dan memastikan barang yang dijanjikan sampai.
“Walaupun penat dan agak kelam-kabut, saya menikmati proses itu. Dari situlah saya mendapat pengalaman awal tentang apa sebenarnya yang diperlukan untuk berniaga,” katanya.
Pengalaman tersebut menjadi antara titik penting yang membentuk pendekatannya terhadap perniagaan, khususnya dalam menjaga kepercayaan pelanggan dan memastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik.
Daripada menjual makanan dan mereka bentuk baju kelab ketika masih belajar, Adri mula membina perniagaannya secara berperingkat sebelum mengembangkan operasi dengan mengambil pekerja dan melabur dalam mesin sendiri pada tahun-tahun berikutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






