BERITA SEMASA

HASiL hargai peranan media tingkat kefahaman rakyat mengenai cukai

KUCHING – Kerjasama pengamal media penting dalam memastikan maklumat percukaian disampaikan secara tepat dan mudah difahami masyarakat, khususnya berkaitan inisiatif baharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, hubungan profesional antara HASiL dengan media membantu orang ramai memahami tujuan sesuatu dasar diperkenalkan, golongan yang terlibat serta tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebagai pembayar cukai.

“Hubungan profesional antara HASiL dengan media penting dalam memastikan maklumat percukaian disampaikan dengan tepat dan jelas, sekali gus membantu masyarakat memahami tujuan sesuatu langkah diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Dengan Media Negeri Sarawak 2026 di sini, semalam.

Menurutnya, peranan media tempatan di Sarawak amat bermakna dalam meluaskan capaian maklumat percukaian, mengambil kira kepelbagaian geografi, budaya dan keperluan masyarakat setempat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.

“Dalam pada itu, HASiL turut mempergiat usaha pendidikan percukaian menerusi pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab mereka.

“Antaranya, Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2026 yang menghimpunkan lebih 5,600 peserta dengan memberi tumpuan kepada cadangan Belanjawan 2027, perkembangan pelaksanaan e-Invois serta pematuhan duti setem,” tambahnya.

Selain itu, program Bulan HASiL 2026 yang membawa tema “Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama” turut dilaksanakan bagi memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pematuhan cukai.

Antara inisiatif di bawah program berkenaan ialah Jelajah Literasi HASiL yang membawa pendidikan percukaian ke lokasi tumpuan masyarakat, selain menyediakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan penerangan secara langsung daripada pihak HASiL.

HASiL turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media di Sarawak atas kerjasama mereka dalam menyampaikan maklumat percukaian dan berharap hubungan profesional itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap kewajipan cukai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button