HASiL kesan RM3.5 bilion pendapatan tidak dilapor menerusi semakan data e-Invois
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) berjaya mengesan pendapatan tidak dilapor berjumlah RM3.5 bilion hasil semakan data e-Invois melibatkan cukai kena dibayar sebanyak RM760.7 juta.
Menurut HASiL, penemuan itu diperoleh menerusi pendekatan peringatan atau “nudging” yang dilaksanakan bagi menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka.
“Daripada pendekatan nudging ini, seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion, yang melibatkan RM760.7 juta cukai kena dibayar,” kata HASiL dalam kenyataan hari ini.
HASiL berkata, bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP, tindakan lanjut akan diambil menerusi audit serta penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, semua pihak diseru supaya menunaikan tanggungjawab cukai masing-masing dengan melaporkan pendapatan dan membayar cukai sewajarnya,” kata kenyataan itu lagi.
Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois melibatkan pengeluaran keseluruhan 1.299 bilion e-Invois.
Menurut HASiL, perkembangan itu membuktikan sokongan positif pembayar cukai terhadap langkah pendigitalan dalam operasi perniagaan serta pengurusan rekod yang lebih tersusun.
Bagi memperkukuh pematuhan pelaksanaan e-Invois, HASiL turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 24 April lalu.
“Seramai 108 pembayar cukai dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 untuk diambil tindakan dalam operasi ini.
“Pendekatan yang dilaksanakan merangkumi lawatan premis, semakan rekod e-Invois, temu bual serta penilaian sistem e-Invois yang digunakan bagi memastikan pematuhan menyeluruh,” katanya.
Menurut HASiL, operasi itu dijalankan secara holistik menerusi gabungan pendekatan penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan pematuhan undang-undang, selain memberi bimbingan serta meningkatkan kesedaran pembayar cukai.
Dalam masa sama, HASiL turut memberi penekanan terhadap sokongan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selaras dengan agenda pendigitalan negara.
“Kerajaan bersetuju memberikan tempoh kelonggaran tambahan kepada pembayar cukai Fasa 4 yang bermula pada 1 Januari 2026 iaitu selama 24 bulan berbanding 12 bulan yang ditetapkan sebelum ini.
“Sepanjang tempoh peralihan dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, pembayar cukai dibenarkan mengeluarkan e-Invois disatukan bagi semua aktiviti dan transaksi secara bulanan.
“Dalam tempoh ini juga, HASiL tidak akan mengenakan penalti terhadap sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi pengeluaran e-Invois disatukan,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








