BERITA SEMASA

LHDN catat lebih 106,000 pengguna e-Invois, bukti kejayaan transformasi digital

CYBERJAYA – Kejayaan lebih 106,000 pembayar cukai melaksanakan e-Invois setakat ini menjadi indikator jelas keberhasilan agenda pendigitalan percukaian negara yang dipacu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pencapaian tersebut turut disokong dengan rekod lebih 675 juta transaksi, sekali gus menunjukkan keyakinan sektor ekonomi terhadap sistem cukai digital yang lebih telus dan efisien.

“Ini pencapaian membanggakan. Ia membuktikan rakyat dan komuniti perniagaan bersedia melangkah ke arah pendigitalan penuh, sekaligus meningkatkan kecekapan dan ketelusan sistem percukaian negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2025 di Menara LHDN, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil negara bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya nadi pembangunan yang menjadi sumber kepada pembinaan sekolah, hospital, infrastruktur awam dan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

“Setiap kejayaan LHDN adalah hasil dedikasi warganya. Mereka menjadi tulang belakang kepada sistem percukaian negara yang telus, berintegriti dan berpaksikan amanah,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) duti setem mulai 1 Januari 2026 bakal memberi lebih kuasa kepada rakyat dan memudahkan proses pembayaran secara cepat dan tepat.

“Ini satu lagi langkah pembaharuan yang meningkatkan keyakinan terhadap sistem percukaian negara,” katanya lagi.

Mengulas tema sambutan tahun ini, Inovasi dan Integriti, Hui Ying menegaskan kedua-dua nilai tersebut perlu bergerak seiring untuk memastikan perkhidmatan awam terus diyakini.

“Inovasi tanpa integriti membuka ruang penyalahgunaan, manakala integriti tanpa inovasi menyebabkan kita ketinggalan. LHDN membuktikan kedua-duanya mampu digerakkan bersama,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru warga LHDN untuk terus menjadi contoh unggul dalam perkhidmatan awam dengan mengekalkan budaya profesionalisme, kerja berpasukan serta nilai amanah.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, barisan pengurusan tertinggi, rakan strategik serta warga agensi itu sebelum disempurnakan dengan pengisytiharan perasmian dan bacaan pantun sebagai simbol komitmen terhadap integriti dan inovasi demi kemakmuran negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button