
Tarif kemudahan gas baharu RP3 dilaksana mulai 1 Januari 2026, impak minimum kepada pengguna
PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melaksanakan semakan semula kadar purata tarif kemudahan gas bagi Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan yang dipersetujui pada 17 Disember 2025 itu melibatkan penetapan tarif asas kemudahan gas baharu bagi tempoh RP3, selain pelarasan purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
Menurut ST, pelarasan tarif berkenaan membabitkan empat pemegang lesen kemudahan gas di bawah rangka kerja IBR yang meliputi keseluruhan rantaian infrastruktur gas negara, iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg. Udang) Sdn. Bhd. (RGTSU) dan Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (RGTP), serta talian paip penghantaran milik PETRONAS Gas Bhd. (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD).

ST menjelaskan, penetapan purata tarif asas bagi RP3 dibuat melalui proses penilaian menyeluruh berlandaskan prinsip kawal selia yang telus, dengan mengambil kira keperluan memastikan pulangan hasil yang munasabah kepada pemegang lesen.
Ia termasuk unjuran perbelanjaan modal dan operasi yang cekap bagi menjamin kelangsungan serta keboleharapan bekalan gas kepada pengguna.
“Pertimbangan turut diberikan kepada kemampanan perniagaan pemegang lesen serta landskap semasa industri dan pasaran gas negara yang semakin kompetitif,” katanya.
Dalam masa sama, mekanisme pelarasan tarif yang dilaksanakan bertujuan menyelaras perbezaan antara hasil dan kos sebenar berbanding unjuran dalam sesuatu tempoh kawal selia.
Mekanisme itu juga berfungsi sebagai instrumen kawal selia untuk menggalakkan disiplin perbelanjaan, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan tahap perkhidmatan yang ditetapkan.
ST menegaskan, perubahan purata tarif kemudahan gas tidak memberi kesan ketara kepada bil pengguna akhir kerana komponen tersebut bersifat tetap dan hanya menampung kos infrastruktur serta keselamatan rangkaian.
Selain itu, kos penggunaan kemudahan gas merupakan sebahagian kecil daripada struktur harga jualan gas dan tertakluk kepada kawal selia yang ketat.
Menurut kenyataan itu, penetapan tarif baharu dijangka dapat diimbangi oleh penurunan kos molekul gas bermula 2026, sejajar dengan unjuran kejatuhan harga minyak mentah global daripada sekitar USD69 setong pada suku keempat 2025 kepada USD64 setong pada suku pertama 2026.
“Sehubungan itu, pengguna dalam segmen penghantaran dan pengagihan gas dijangka menikmati pengurangan kos gas secara keseluruhan, dengan purata penurunan bil antara 1.97 peratus hingga 3.75 peratus bermula suku pertama 2026,” jelas ST.
Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan tarif yang adil, telus dan mampan demi kepentingan semua pemegang taruh.
Langkah penetapan dan pelarasan tarif kemudahan gas itu disifatkan penting bagi memperkukuh ekosistem pembekalan tenaga negara yang lebih saksama, inklusif serta berkecekapan tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








