BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Pengurangan tarif kepada 19 peratus tidak jejas pelaksanaan dasar ekonomi penting – MITI

KUALA LUMPUR – Pengurangan kadar tarif balas terhadap eksport negara daripada 25 peratus kepada 19 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan hak kedaulatan negara dalam melaksanakan dasar ekonomi penting.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan, rundingan yang dimulakan pada 6 Mei lalu itu telah dimeterai secara rasmi semalam.

Menurut MITI, keputusan yang dicapai hasil usaha berterusan antara kedua-dua kerajaan itu mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang saling melengkapi antara Malaysia dan AS selama lebih enam dekad.

“Kadar tarif 19 peratus yang berkuat kuasa hari ini juga hampir setara dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Paling penting, Malaysia telah bertegas dalam mempertahankan pelbagai perkara berprinsip (red line),” jelas MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, MITI menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian besar hasil rundingan yang teliti dan sistematik oleh Malaysia.

Baca juga : Malaysia dikenakan tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat

Malaysia kini dikenakan tarif sebanyak 19 peratus susulan pelaksanaan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden negara itu, Donald Trump, semalam.

Perincian mengenai pelarasan kadar tarif timbal balas itu telah dinyatakan dalam dokumen rasmi bertarikh 31 Julai 2025 yang telah dimuat naik menerusi laman sesawang Rumah Putih.

Terdahulu, Trump menetapkan kadar tarif sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia.

Walau bagaimanapun, difahamkan kadar tersebut telah dikurangkan selepas satu perbualan telefon diadakan antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button