PH tawar harapan, bukan kebencian – Fahmi
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menggesa semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menghentikan amalan politik kebencian, memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) serta penyebaran fitnah bagi meraih sokongan pengundi.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kempen pilihan raya yang berbaki kurang enam hari sepatutnya memberi tumpuan kepada persaingan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian terhadap isu rakyat.
Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan lebih memerlukan jawapan mengenai kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan pembangunan ekonomi berbanding retorik politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Pilihan raya merupakan medan demokrasi untuk rakyat menentukan masa depan negeri, bukannya gelanggang menyemai kebencian, memainkan sentimen perkauman, agama atau institusi diraja serta menyebarkan fitnah demi meraih undi.
“Parti yang bertanding sepatutnya bersaing menerusi idea, dasar dan rekod pencapaian, bukannya menggunakan politik kebencian yang memisah-misahkan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, masih terdapat pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan menyebarkan fitnah sepanjang tempoh berkempen bagi mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.
Menurutnya, tindakan sedemikian menunjukkan sesebuah parti ketandusan idea sehingga sanggup menjadikan kebencian dan perpecahan sebagai modal politik.
“Apabila sebuah parti ketandusan idea, mereka sanggup menjual kebencian dan perpecahan. Sebaliknya, apabila sesebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, bukti dan pencapaian.
“Pakatan Harapan memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya lagi.
Fahmi berkata, rakyat kini lebih mahukan penyelesaian terhadap isu peluang pekerjaan bergaji tinggi, pemilikan rumah dalam kalangan anak muda, pengurangan kos sara hidup serta usaha memperkukuh ekonomi negeri.
“Politik yang berasaskan kebencian, ketakutan dan perkauman tidak akan membantu mewujudkan pekerjaan, menurunkan harga barang, membina rumah mampu milik atau menarik pelaburan baharu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik menghormati undang-undang pilihan raya dan memastikan baki tempoh kempen berlangsung secara matang, berhemah dan berasaskan fakta.
“Bertandinglah dengan dasar, rekod dan prestasi. Bawalah cadangan serta penyelesaian, bukannya kebencian yang memecahbelahkan masyarakat atau menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni, justeru perpaduan yang dibina sekian lama tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan politik sempit.
“Pada hari pengundian nanti, rakyat akan menentukan sama ada mahu memilih politik yang menyatukan atau memecahbelahkan masyarakat.
“Pakatan Harapan akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Negeri Sembilan tidak memerlukan politik kebencian,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








