POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Tok Mat bantu kempen, tunai tanggungjawab tugas rasmi ASEAN di Manila

REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, fokus beliau sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sahaja mempertahankan kerusinya, malah membantu memperkukuhkan gerak kerja jentera BN di kawasan lain.

Beliau berkata, sebagai penyandang DUN Rantau, masyarakat setempat sudah mengenali beliau, justeru keutamaan diberikan kepada penyelarasan jentera dan membantu calon-calon lain.

“Di Rantau orang sudah kenal saya. Apa yang penting ialah memastikan gerak kerja jentera disusun dengan baik dan saya juga perlu membantu rakan-rakan di kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad memaklumkan beliau akan berada di Manila, Filipina dari Isnin hingga Khamis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN atas kapasiti sebagai Menteri Luar.

Katanya, kehadiran itu penting memandangkan Malaysia kini bertindak sebagai negara penyelaras hubungan ASEAN-China ketika situasi geopolitik dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

“Saya perlu menghadiri mesyuarat dan mempengerusikan beberapa sesi penting bagi memastikan suara, kepentingan serta kedaulatan Malaysia terus dipertahankan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen, Mohamad berkata kedua-dua gabungan akan saling membantu bagi memaksimumkan sokongan pengundi di kawasan yang tidak ditandingi BN.

“Kita menjalankan persefahaman, bukannya bergabung. Seperti yang dilakukan di Johor sebelum ini, kita akan saling membantu supaya usaha mendapatkan sokongan pengundi dapat diperkukuhkan,” katanya.

Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, Mohamad akan menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button