PRN Negeri Sembilan: Penerimaan pengundi Labu positif, isu perkauman bukan cabaran – Ahmad Faez
RASAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak menyifatkan sambutan masyarakat terhadap kempennya setakat hari ketujuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan amat memberangsangkan hasil khidmat berterusan yang dilakukannya sebagai penyelaras DUN sejak lebih dua tahun lalu.
Ahmad Faez, 41, berkata, tempoh dua tahun lapan bulan berkhidmat sebagai penyelaras DUN Labu membolehkan beliau membina hubungan rapat dengan penduduk, sekali gus memudahkan masyarakat mengenalinya.

“Alhamdulillah, hari ini masuk hari ketujuh kempen di Labu. Bagi saya, penerimaan daripada masyarakat setempat sangat bagus.
“Sebenarnya saya dah berkhidmat selama dua tahun lapan bulan sebagai penyelaras DUN Labu. Jadi masalah untuk orang nak kenal saya memang hampir tiada,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Kampung Batu 8, Labu, di sini hari ini.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif yang disalurkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membantu mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan juga PMX, kita dah banyak bagi inisiatif secara terus kepada penerima.
“Bila bantuan itu sampai terus kepada penerima, saya menjadi lebih dekat dengan masyarakat. Sebab itu, bagi saya penerimaan masyarakat sangat baik,” katanya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang memainkan naratif perkauman sepanjang kempen, Ahmad Faez menyifatkan pendekatan itu sebagai strategi politik lapuk yang tidak sepatutnya dijadikan modal politik.
“Bagi saya itu bukan satu cabaran, tetapi taktik atau strategi politik yang basi yang tak sepatutnya dimainkan oleh mana-mana ahli politik.
“Kita sebagai orang Melayu dan Islam sepatutnya mempunyai prinsip yang jelas. Kedudukan orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan cukup matang untuk menilai isu-isu yang dibangkitkan, termasuk dakwaan yang sering mengaitkan DAP dengan sentimen perkauman.
“Saya nampak rakyat Negeri Sembilan tidak termakan dengan naratif itu kerana kebanyakan yang bercakap mengenai DAP dan memainkan isu bangsa bukan pun orang Negeri Sembilan, tetapi orang luar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faez berjanji akan meneruskan khidmat kepada penduduk Labu sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menurutnya, sepanjang menjadi penyelaras DUN, sebanyak 498 program telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM960,000.
Ia merupakan bantuan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk program kemasyarakatan serta projek berimpak kecil, sederhana dan besar.
“Walaupun hanya menjadi penyelaras DUN selama dua tahun lapan bulan, saya dah buat sebanyak 498 program.
“Insya-Allah, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, saya akan terus berbakti dan menyalurkan inisiatif kerajaan negeri selaras dengan manifesto yang telah ditawarkan.
“Apa sahaja manifesto saya, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang, akan saya laksanakan, Insya-Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















