POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Tok Mat seru jentera BN berkempen secara sihat, elak isu adat

REMBAU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru seluruh jentera parti supaya menjalankan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan secara tersusun, berhemah dan tidak menjadikan isu adat sebagai bahan politik.

Beliau berkata, proses penamaan calon bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Rembau iaitu Rantau, Chembong, Kota dan Paroi telah berjalan lancar dengan semua borang pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Di Paroi ada tiga calon, Rantau dua calon, Chembong dua calon dan Kota tiga calon.

“Selepas ini tempoh berkempen bermula dan saya harap semua jentera BN dapat menjalankan gerak kerja yang tersusun kerana gerak kerja yang teratur akan menghasilkan keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, hari ini.

Menurut beliau, pertandingan di kebanyakan kerusi yang ditandingi BN kali ini lebih mudah berbanding pilihan raya terdahulu kerana majoritinya melibatkan saingan satu lawan satu.

“Harapan saya supaya kita berkempen secara sihat. Yang penting ialah menyampaikan hasrat dan manifesto BN kepada rakyat serta menjelaskan mengapa mereka perlu memberikan mandat semula kepada BN pada hari pengundian nanti,” katanya.

Mengulas sama ada isu adat akan dijadikan bahan kempen, Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan beliau telah mengarahkan semua jentera supaya tidak menyentuh perkara itu.

“Saya telah pesan supaya dalam tempoh kempen ini jangan sentuh soal adat. Adat perlu dihormati dan jangan dicampuradukkan dengan politik kerana ia hanya akan mengusutkan keadaan.

“Kita tidak perlu menggunakan isu adat sebagai bahan kempen,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button