Yew Boon Lye anggap PRN Negeri Sembilan cabaran besar, bukan menang mudah di Chuah
PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye tidak menganggap kemenangan besar yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sebagai tiket mudah untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau berkata, saingan pada PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai cabaran besar dan perlu berdepan dengan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.
Menurutnya, setiap pertandingan perlu dilihat secara terbuka tanpa mengambil kira rekod kemenangan terdahulu.
“Kalau kata selesa, saya rasa PRN yang lepas dengan kali ini cukup berbeza. Kali ini memang satu cabaran besar kepada saya.
“Bagi saya, setiap kali pertandingan atau PRN adalah satu cabaran besar. Saya anggap setiap kali bertanding bermula dengan kedudukan 50-50. Tidak ada yang kata selesa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, rekod kemenangan sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana situasi politik dan kehendak rakyat sentiasa berubah.
Boon Lye berkata, tempoh penggal lalu yang singkat menyebabkan masih terdapat beberapa agenda pembangunan yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Antara perkara yang perlu diteruskan ialah projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Sungai Pelek ke Bukit Pelandok yang kini difahamkan berada pada peringkat tender.
“Saya harap dan yakin kerja-kerja itu dapat dimulakan pada tahun ini. Selain itu, pembangunan ekonomi kawasan Chuah juga menjadi antara fokus utama kerana kawasan ini adalah kawasan luar bandar.
“Kita perlu tingkatkan ekonomi setempat supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk penduduk,” katanya lagi.
Menurutnya, pelaksanaan agenda pembangunan Negeri Sembilan Vision 2.0 (NSV 2.0), termasuk kerjasama antara Eco World dan NS Corporation menerusi pembangunan Eco Business Park 7, mampu menjadi pemangkin ekonomi baharu di kawasan berkenaan.
“Pembangunan berkeluasan 1,155 hektar itu dijangka menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing selain membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.
Beliau turut menghargai sokongan Timbalan Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin yang kini membantu jentera PH dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Kenny dan semua yang bersama-sama membantu kempen. Ini menunjukkan kami bersatu dan fokus kepada perjuangan untuk rakyat,” katanya lagi.
Boon Lye yang juga penyandang kerusi DUN Chuah turut menyeru pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memilih kerajaan yang mampu membawa kestabilan dan pembangunan kepada Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















