POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Danish Nazran seru lebih ramai anak muda sertai politik, jangan takut ubah keadaan

REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad menggesa lebih ramai anak muda tampil menyertai politik bagi membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata, masih terdapat stigma dalam kalangan generasi muda terhadap politik, namun keadaan itu hanya boleh diubah jika mereka sendiri berani melibatkan diri dalam proses demokrasi.

“Kepada golongan muda, jangan takut untuk mencuba menceburi politik kerana mungkin ada stigma terhadap politik tradisional.

“Tetapi kalau kita tidak masuk dan menceburinya, bagaimana kita hendak cuba mengubah keadaan semasa tersebut,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika sesi Walkabout di Rumah Rakyat Pedas, di sini hari ini.

Danish Nazran yang pernah menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berkata, pengalaman itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan pengenalan masyarakat terhadap dirinya, namun beliau tidak mahu bergantung kepada faktor tersebut semata-mata.

prn negeri sembilan
Danish Nazran (tengah) pernah menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) belayar ke Gaza.

“Saya nampak mungkin itu salah satu faktor kerana ada sebahagian pengundi yang mengenali saya melalui platform tersebut.

“Tetapi saya tidak boleh terlalu bergantung kepadanya. Saya perlu menonjolkan diri sebagai calon Pakatan Harapan dan menunjukkan apa yang boleh saya tawarkan kepada rakyat Chembong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai kerajaan yang banyak menyalurkan manfaat kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan kebajikan.

Menurutnya, sinergi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan lebih banyak inisiatif dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

“Dari segi kebajikan dan bantuan, saya nampak ia benar-benar untuk rakyat. Kita boleh lihat bantuan diberikan kepada rakyat daripada peringkat kelahiran sehingga usia lanjut.

“Kerjasama antara kepimpinan negeri dan Persekutuan juga membantu melancarkan pelaksanaan dasar serta memberikan yang terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button